Selasa, 1 Februari 2011

Pencetus Kegemilangan

Prof Dato' Dr Zulkifli Muhammad..........

Tan Sri Mohd Asri Haji Muda pernah menukilkan kehebatan Prof Zulkifli:
“Saya kenal dia sebagai pujangga dengan membaca syair-syair dan sajak-sajaknya. Saya kenal dia sebagai ahli fikir dengan menatap karangan-karangannya di majalah dan risalah yang ditulisnya. Saya kenal dia sebagai pendidik dengan perkhidmatannya di Kolej Islam sebagai setiausaha dan pensyarah. Saya kenal dia sebagai ahli ilmu dengan ceramah-ceramah ilmiah yang diberikan di kolej-kolej dan universiti ditambah dengan karya-karyanya yang membahas pelbagai bidang ilmu pengetahuan.”

Beliau seorang pemidato yang hebat dan disegani kawan & lawan. Beliau mencipta rekod berucap di parlimen selama 4 jam. Di Parlimen beliau banyak membangkitkan isu-isu berkaitan kerakyatan, cukai, penubuhan koperasi, kepentingan pengetahuan teknikal kepada orang Melayu, perkembangan bahasa Melayu, perlunya pusat latihan guru dan yang paling penting menyeru supaya menghentikan penghantaran guru ke Kirby dan Brinsford di United Kingdom.

Menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Parit hingga tamat Darjah 5. Melanjutkan pelajaran ke Sekolah Agama Rakyat Madrasah Aziziah' sehingga tahun 1937. Pada tahun 1940, beliau memasuki Sekolah Agama Idrisiah, Bukit Chandan,Perak.Seterusnya, pada tahun 1947, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Seterusnya ke American University, Mesir.

Jasanya terus tersemat apabila Kolej Islam ditubuhkan pada 1955 bersamaan 1374 hijrah, setelah berjaya mengusulkan penubuhan Kolej Islam di dalam Parlimen. Alhamdulillah, tertubuhnya Kolej Islam ini ibarat satu sinaran yang menerangi bumi Malaysia. Kebangkitan dan kesedaran terhadap ilmu agama semakin membara dan membuak-buak.

Kolej ini pada asalnya ialah sebuah istana yang kemudiannya diwakafkan oleh Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah. Baginda amat berharap agar kolej ini dapat melahirkan para ulama' yang bertakwa kepada Allah dan seterusnya menerangi masyarakat Malaysia ini dengan ruh-ruh Islam serta dapat menghapuskan segala bentuk kekufuran dan jahiliah yang ada.

Kejayaan dan kegemilangan yang dikecapi oleh Kolej Islam menjadikan kolej ini masyhur di seantero dunia hingga kini. Buat kita semua yang menjadi pewaris Bumi Waqafan ini, diharapkan dapat meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh ulama'-ulama' terdahulu khususnya Dr Zulkifli Muhammad dalam memastikan penyebaran ilmu di bumi Malaysia. Sesungguhnya sifat orang yang suka akan ilmu ialah mereka suka pada tersebarnya ilmu(hubbun nashrul 'ilmi).

Jasa yang telah dicurahkan oleh ulama'-ulama' terdahulu janganlah kita lupakan. Jadikanlah ia sebagai satu suntikan semangat dalam diri kita agar lebih maju dan berusaha dalam menuntut ilmu. Akhir kalam, saya tinggalkan dengan bait syair arab dari umar al wardi " Uthlubul 'ilma wala taksal, fama ab'adal khair 'ala ahlil kasal" - tuntutlah ilmu dan jangan malas,alangkah jauhnya kebaikan bagi orang yang malas.

Dr Zulkifli Muhammad akan terus di ingati selagi kukuhnya dan tertegaknya Kolej Islam di bumi Malaysia....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan